Monday, August 25, 2008

Proses pengundian Parlimen Permatang Pauh di 25 pusat mengundi lancar

BUKIT MERTAJAM 26 Ogos - Proses pengundian di 25 buah pusat mengundi yang dibuka mulai pukul 8 pagi ini untuk pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh berjalan lancar.

Cuaca cerah membolehkan para pengundi keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan lebih awal, pagi ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang diiringi isteri, Datin Latifah Asmawi dan anak sulung mereka, Izwan Shah tiba di pekarangan Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya II di Lengkok Tenggiri di sini kira-kira 7.50 pagi.

Mereka berjalan kaki dari rumah yang terletak tidak jauh dari pusat mengundi bersama-sama beberapa penyokong.

Ketiga-tiga beranak itu dilihat memasuki pusat itu pada pukul 8 pagi sebaik sahaja pusat mengundi dibuka.

Arif Shah yang berkemeja putih dan bersongkok hitam kelihatan ceria semasa keluar dari pusat mengundi itu kira-kira 8.20 pagi dan meluangkan masa bertemu pengundi di luar pusat berkenaan.

Ketika ini, keadaan lalu lintas menuju ke pusat mengundi sibuk dengan kenderaan yang mengangkut pengundi.

Sementara itu, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dijadual mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan peletakan jawatan anggota parlimennya Dr Wan Azizah pada 31 Julai lepas untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding di kawasan itu.

Anwar, 61, menentang Arif, 51, dan Hanafi Mamat, 61, daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia. Hanafi bukan pengundi berdaftar di Permatang Pauh. - Bernama


Sumber : Utusan

No comments: