BEIJING – Sukan Olimpik Beijing melabuhkan tirainya secara rasmi, semalam dengan menyaksikan Malaysia kekal dengan satu pingat perak menerusi badminton untuk menduduki tangga ke-71; satu pencapaian dianggap baik berbanding temasya Athens 2004.
Di Sukan Olimpik Athens 2004, tidak seorang pun daripada sebanyak 26 atlet negara yang mengambil bahagian dalam 11 acara membawa pulang pingat.
Thailand pula muncul negara dari Asia Tenggara paling cemerlang dengan membawa pulang dua emas dan perak untuk menduduki tangga ke-31 manakala Indonesia meraih kedudukan ke-42 dengan membawa pulang satu emas dan perak serta tiga gangsa.
Jiran terdekat, Singapura pula hanya berkongsi kedudukan dengan Malaysia di tangga ke-71 dengan meraih satu gangsa.
Sepanjang hampir tiga minggu sukan berprestij itu berlangsung, hanya pemain perseorangan, Lee Chong Wei yang paling menyerlah di samping acara berbasikal trek menyaksikan peningkatan apabila pelumbanya berjaya menempatkan diri dalam 10 terbaik dunia.
Josiah Ng, Mohd. Azizulhasni Awang dan Mohd. Rizal Tisin masing-masing berjaya memperbaiki rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan apabila menduduki ketujuh daripada 10 terbaik dunia.
Sementara Josiah dan pelumba berbakat, Azizulhasni pula mencuri tumpuan ramai apabila kehadiran mereka jelas mengancam saingan lain meskipun menamatkan pertarungan di tempat kesembilan dan 10.
Trio memanah negara yang turun buat pertama kali di temasya ini juga boleh dibanggakan pencapaian mereka sekalipun gagal membawa pulang pingat namun telah melakukan kejutan dalam acara berpasukan dan saingan recurve individu apabila mara ke saingan suku akhir.
Sementara bagi acara angkat berat, olahraga, taekwondo, renang, terjun, menembak dan kapal layar masih perlu diberikan perhatian yang sewajarnya apabila wakil negara yang bertanding belum mampu menyaingi pencapaian yang sepatutnya dalam temasya Olimpik.
Ada antara mereka yang masih kaku dan langsung tidak mencapai standard dunia. Mereka tidak sepatutnya datang ke Beijing, sebaliknya ke peringkat lebih rendah seperti Sukan SEA atau Sukan Komanwel.
Pencapaian beregu badminton negara turut memerlukan post mortem apabila gandingan kita sekadar bertahan sekerat jalan sebelum episod duka berulang dengan menjadikan tekanan sebagai alasan untuk kalah.
Selain Chong Wei, pujian juga seharusnya diberikan kepada wakil wanita, Wong Mew Choo yang menunjukkan angin perubahan apabila mara sehingga ke suku akhir yang sudahpun dianggap satu permulaan baik.
Acara renang dan olahraga yang terperap di tangga corot sebenarnya bukan tandingan Malaysia untuk bersaing di Olimpik yang kebanyakannya membariskan juara dan pemegang rekod dunia yang mustahil dikalahkan.
Jika dilihat persembahan keseluruhan atlet negara, masih banyak ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki dari sekarang sementara menunggu temasya London dalam empat tahun lagi.
Malah, dalam sesetengah disiplin tertentu, segelintir atletnya sudah menjangkau lewat usia malah persembahan mereka mulai menurun dan tidak sehebat dulu untuk menyaingi lawan yang segar dan muda.
Mungkin sudah tiba masanya mereka memberi laluan kepada muka baru yang lebih berdaya saing dalam persediaan ke temasya London 2012.
Apa jua perancangan yang hendak dicaturkan perlu dimulakan sekarang kerana tempoh empat tahun bukan jangka masa yang lama, malah untuk membina seorang atlet yang benar-benar mantap adakalanya memakan masa bertahun-tahun lamanya.
Di samping itu, atlet juga perlu didedahkan dengan lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi membiasakan diri mereka bersaing dengan lawan bertaraf dunia di samping mencari pengalaman lebih luas.
Jika tidak, atlet kita akan kekal seperti apa yang kita saksikan sepanjang temasya berprestij ini. Mereka sering hilang fokus dan kaku untuk beraksi menyebabkan segala latihan dan pelaburan yang dibuat ke atas mereka selama ini lebur dalam sekelip mata.
Sumber : Utusan
Tahniah bagi yang dapat gelaran Datuk
Sunday, August 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment