Wednesday, August 27, 2008

BN tidak terjejas – PM

Kekuatan Barisan Nasional (BN) di semua peringkat tidak sekali-kali terjejas ekoran kemenangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh semalam, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri menegaskan, walaupun kekalahan calon BN adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian, namun ia bukan sampai ke suatu tahap yang membimbangkan kerana kemenangan PKR tidak boleh diterjemahkan sebagai sesuatu yang akan berlaku di kawasan Parlimen lain.

“Ini adalah satu pilihan raya kecil yang tidak boleh diterjemahkan sebagai sesuatu yang akan berlaku di kawasan Parlimen lain.

“Sekarang BN ada 140 kerusi Parlimen dan ini adalah kerusi yang kita menang pada pilihan raya umum lalu. Maka, saya percaya kita masih boleh mempertahankan parti kita dan meneruskan kerajaan.

“Kemenangan (pembangkang) atas satu kerusi itu tidak memberi kesan, kerana BN hanya kekurangan lapan kerusi untuk mendapat dua pertiga majoriti di Parlimen,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengucapkan selamat jalan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Senai dekat sini hari ini.

Abdullah diminta mengulas mengenai kekalahan BN pada pilihan raya kecil Permatang Pauh apabila Anwar menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi, semalam.

Pada pilihan raya tersebut, Anwar, 61, memperoleh 31,195 undi, Arif pula mendapat 15,524 undi, manakala seorang lagi calon, Hanafi Mamat, 61, daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) hanya memperoleh 92 undi.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kemenangan itu, Perdana Menteri berkata, BN tetap berupaya membentuk kerajaan yang kuat untuk terus bekerja keras memikul mandat rakyat yang diperoleh pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, BN sentiasa menyedari dan menghargai mandat tersebut untuk melaksanakan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan demi kepentingan rakyat.

“Kita sedar terhadap beberapa masalah yang wujud seperti kenaikan harga minyak, harga makanan dan isu lain seperti inflasi yang hendak kita atasi,” katanya.

Menurutnya, ia adalah isu-isu yang kerajaan mesti dan sedang hadapi khususnya dalam usaha mengekalkan ekonomi negara pada tahap yang terbaik.

Mengenai kekalahan Arif Shah, Abdullah berkata, ia bukan kekalahan teruk kerana sasaran Anwar adalah untuk menghilangkan wang deposit calon BN dan perkara itu tidak berlaku.

Abdullah berkata, BN telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk melakukan analisis serta mengenal pasti punca kekalahan BN termasuk melihat kecenderungan pengundi-pengundi Melayu, Cina dan India atau golongan muda dan dewasa di Permatang Pauh.

“Selepas dianalisis dengan sebaik-baiknya, maka mudahlah kita perhalusi apakah yang telah timbul dan apakah yang berlaku dan apakah tindakan yang diambil pada masa depan kerana tindakan-tindakan itu bergantung kepada analisis terhadap kecenderungan pengundi di kawasan itu,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, sebarang hasil kajian jawatankuasa itu nanti hanya untuk makluman dalaman parti kerana apa yang berlaku di Permatang Pauh bukan suatu perkara yang terlalu besar sehingga boleh mengubah situasi yang telah pun berlaku dalam pilihan raya umum lalu.

Ditanya kemungkinan ahli BN atau UMNO yang tidak mengundi atau memberi undi kepada pembangkang, Abdullah berkata, mereka mungkin mempunyai sebab masing-masing sama ada protes atau timbul kecenderungan untuk mengundi parti pembangkang.

“Ini memang berlaku di Pulau Pinang sejak dahulu lagi dan kawasan Permatang Pauh sejak dulu pun adalah kawasan Anwar.

“Dua penggal kawasan itu diwakili isterinya dan sekarang ini kawasan itu balik kepada beliau (Anwar) dan ini pun sudah menjadi suatu perkara yang dijangkakan berlaku oleh ramai orang,” katanya.

Abdullah bagaimanapun menolak tanggapan yang mengatakan bahawa pengundi memberi undi kepada pembangkang kerana propaganda bahawa Anwar hendak menjadi Perdana Menteri sebagai berjaya.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata: “Saya ingat bukan itu yang mendorong pengundi kerana ada perkara lain seperti memberi janji hendak turun harga minyak atau sama ada yang berkaitan dengan isu-isu kaum di negara kita yang pada saya menarik perhatian golongan-golongan tertentu mengenainya.”

Ditanya mengenai masalah dalaman BN, Abdullah berkata, beliau sentiasa memahami apa yang berlaku terhadap parti-parti komponen BN sejak pilihan raya umum lalu dan jika timbul trend pada pilihan raya kecil ia hanya trend yang sama sebagaimana bermula pada pilihan raya umum lalu.

Mengenai kemungkinan Ahli Parlimen BN melakukan tindakan melompat parti seperti yang dicanang-canangkan oleh Anwar sebelum ini, Abdullah berkata: “Tidak, tidak mungkin anggota BN tinggalkan BN begitu sahaja.”

Perdana Menteri berkata, kesemua pemimpin BN menerima keputusan rakyat pada pilihan raya kecil itu yang menunjukkan demokrasi di negara ini berjalan dengan baik kerana memberi kesempatan kepada rakyat untuk membuang undi dengan lancar.



Sumber : Utusan

No comments: