Monday, August 25, 2008

Kerajaan tidak cadang majukan tanah wakaf untuk biofuel

Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa setakat ini kerajaan belum bercadang untuk memajukan tanah-tanah wakaf untuk tanaman makanan atau biofuel.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata berdasarkan rekod sehingga 31 Mac lepas, keluasan tanah wakaf di seluruh negara adalah sebanyak 9,906.14 hektar di mana Johor mencapai keluasan terbesar iaitu 3,738.08 hektar.

“Kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM256.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan bagi memaju dan membangunkan tanah-tanah wakaf di seluruh negara.

“Sebahagian peruntukan digunakan untuk memberikan pulangan ekonomi seperti pembinaan hotel dan ruang perniagaan,” katanya menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil).

Mashitah berkata daripada jumlah keluasan tanah wakaf itu, sebanyak 70.85 hektar ataupun 0.72 peratus sahaja yang telah dimajukan kerana terdapat banyak halangan yang terpaksa dihadapi dalam membangunkan tanah wakaf tersebut. - BERNAMA

No comments: