Tuesday, August 12, 2008

Pelajar UiTM berarak protes - Serah memorandum bantah keras cadangan Menteri Besar Selangor

SHAH ALAM 12 Ogos – Lebih 5,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berarak sejauh dua kilometer di sini hari ini untuk membantah keras cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera.

Kumpulan pelajar itu yang sebahagian besarnya memakai kemeja-T berwarna hitam mula berkumpul di Dataran Shah Alam pada pukul 9 pagi sebelum berarak sambil memegang sepanduk menuju ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Sebaik tiba di luar pagar utama bangunan SUK yang menempatkan pejabat Abdul Khalid, mereka berdemonstrasi selama sejam.

Di samping menyanyikan lagu rasmi UiTM, mereka turut mengangkat sepanduk, antaranya bertulis ‘Jangan rampas hak kami’ dan ‘Selamatkan UiTM’.

Perhimpunan itu berakhir selepas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris yang mengetuai perhimpunan menyerahkan memorandum tujuh muka surat kepada pegawai SUK, Hasril Abu Hassan untuk disampaikan kepada Menteri Besar Selangor.

Luqmannulhakim ketika ditemui pemberita berkata, kandungan memorandum itu merakamkan rasa kesal para pelajar UiTM terhadap cadangan Menteri Besar kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu.

Menurut beliau, memorandum tersebut turut menyatakan wujud unsur politik dalam cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Khalid.

Para pelajar UiTM meminta kerajaan negeri tidak lagi membincangkan cadangan tersebut sekiranya ia bertujuan semata-mata untuk meraih undi pelbagai kaum.

“Janganlah dipolitikkan UiTM kerana penubuhan universiti ini telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk bumiputera demi membantu menaikkan taraf ekonomi mereka,” katanya.

Luqmannulhakim menambah: “Insya-Allah kami akan buat susulan bantahan fasa kedua dan ketiga. Kami akan memohon sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya baginda menitahkan soal pengambilan pelajar UiTM tidak dibincangkan lagi.”

Ahad lalu, Abdul Khalid mencadangkan agar 10 peratus daripada kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

Sumber : Utusan

Politik perlu campur tangan dalam menentukan hak pelajar-pelajar Melayu, tetapi bukan dengan mengambil apa yang telah selamanya menjadi identiti kebanggaan bangsa.

1 comment:

zaeem zakaria said...

ini la akibatnye bila ramai student melayu yang dah biase lepak2 dan tak belajar dgn bersungguh2nye..skrg nak protes pulak..sbb ape?..sbb dieorg takot budak2 cina and india akan masok ranking teratas..ni la namenye melayu xsedar d untung..saya sebagai bekas pelajar upm,tidak pernah rasekan ape2 pon bile d dalam class yang terdiri daripada pelbagai bangsa..dari sini la healthy competition between each student dpt dijalankan.
dan juga,pelajar-pelajar lupa apabila di dalam class terdiri daripada pelbagai bangsa,maka penggunaan bahasa inggeris akan digunakan.ini sedikit sebanyak akan improved our vocabulary and understanding.