Thursday, April 22, 2010

Kata Tun Dr. Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberikan sokongan kepada pihak yang sedia menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri.
Katanya seseorang itu akan dapat mengetahui sejauh mana Anwar boleh digelar "pejuang kebangsaan" apabila mereka mengenali beliau dengan lebih rapat.
"Saya percaya semakin dekat orang dengan dia, semakin orang itu akan faham peribadi Anwar ini, betulkah dia pejuang kebangsaan.
"Sebenarnya, dia pejuang untuk jadi Perdana Menteri. Kalau ada sesiapa yang boleh sokong dia untuk jadi Perdana Menteri...dia akan sokong orang tu balik," katanya.
Bernama melaporkan Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Multaqa Yang Dipertua Perkim bersama Guru-guru pendidikan Islam Kementerian Pelajaran dan warga Perkim di Kuala Lumpur Selasa.
Menurut Dr Mahathir, penarikan diri beberapa orang yang rapat dengan Anwar jelas menunjukkan mereka sudah mula sedar tentang peribadi bekas timbalannya itu.
Katanya, sebelum ini, bekas Timbalan Presiden PKR Dr Chandra Muzaffar juga telah bertindak keluar parti manakala peguam yang mewakilinya dalam kes liwatnya sebelum ini Zainul Zakaria juga telah menarik diri daripada kes terbabit.
Dan terkini, doktor peribadi beliau Datuk Dr Halili Rahmat yang juga bendahari PKR Hulu Selangor semalam mengumumkan keluar parti kerana mendakwa parti itu sudah terpesong daripada perjuangannya sejak diasaskan pada tahun 1999.
Ditanya mengenai tuduhan terhadap calon PKR Datuk Zaid Ibrahim bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor yang didakwa minum arak, beliau berkata tuduhan sedemikian adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
"Orang kata dalam Bahasa Inggeris "all is fair in love and war and in election". Saya dulu pun kena macam-macam...Saya ada bini (isteri) Cina seorang, ada bini di Singapuralah konon. Itu semua orang politik. Orang yang dengar itu, patutlah buat penilaian sendiri," katanya.
Ditanya sama ada kempen serangan peribadi itu boleh memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu, Dr Mahathir berkata: "Mungkin, mungkin juga tidak. Kita tidak tahulah kerana itu terpulang kepada pengundi."
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata hubungan dagangan Malaysia dengan Iran mungkin akan terjejas sekiranya Petronas ditegah daripada membekalkan gasolin kepada Iran.
"Datuk Seri Najib (Tun Razak) menafikan bahawa dia menegah (Petronas). Ini satu urusan komersil. Yang itu hak Petronas hendak jual kat (pada) sesiapa pun," katanya.
Sebelum ini, laporan media asing menyebut Najib sebagai berkata Malaysia sudah menghentikan bekalan gasolin ke Iran, dan kenyataan itu telah dinafikan oleh Perdana Menteri dan mengatakan bahawa ia merupakan transaksi komersil semata-mata dan jika ada permintaan untuk jualan setempat, terpulang kepada pihak-pihak terbabit memutuskannya.
Ditanya mengenai pendidikan seks secara formal di sekolah, Dr Mahathir berkata ia tidak perlu kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada kandungan dalam subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di sekolah.
Katanya apa yang penting adalah untuk memastikan anak-anak di sekolah memahami dan mengetahui bagaimana cara untuk mengawal nafsu mereka daripada melakukan perkara yang tidak elok itu.
"Kita kena tahu dulu apa makna pendidikan seks itu. Sebenarnya, dalam agama Islam sudah ada didikan seks itu, tinggal lagi tidak dijelaskan dengan baik.
"Dalam ajaran agama, kita boleh masukkan adalah untuk menentukan anak-anak kita faham dan tidak terpengaruh dengan nafsu sahaja.
"Dia (anak-anak) kena kawal nafsu kerana yang penting dalam seks ini, kawal nafsu. Jangan ikut saja. Jika tidak kawal nafsu, berlaku buang bayi dalam tong sampah dan sebagainya," katanya. –


Sumber : Agenda Daily

Orang lama lebih tahu dan berpengalaman

No comments: