Elaun keraian melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri akan dipotong 10 peratus mulai 1 Julai ini. Satu berita yang begitu menggembirakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Kepimpinan melalui teladan !
Langkah-langkah penjimatan RM2 bilion setahun ini akan membawa satu impak yang cukup bagus dan menunjukkan betapa keperitan rakyat tetap sama ditanggung oleh para pemimpin. Cuti berbayar bagi menteri dan timbalan menteri juga telah dihadkan kepada destinasi dalam negeri dan rantau ASEAN sahaja serta tidak melebihi seminggu. Eloklah tu !
Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah Kerajaan sedang menimbang untuk menaikkan beberapa elaun bagi rakyat. Tetapi, maklumat terperinci akan diumumkan seminggu lagi.
Perdana Menteri juga turut mengarahkan supaya perbelanjaan awam dikurangkan meliputi aspek mengehadkan perjalanan para pegawai kanan sektor awam ke luar negara, semua jabatan kerajaan tidak dibenarkan membuat pengubahsuaian pejabat serta menangguhkan sebarang pembelian aset termasuk penganjuran majlis dan upacara keraian.
Penggunaan kemudahan hotel hanya dibenarkan bagi mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel antarabangsa. Semua kursus dan bengkel hendaklah dihadkan dengan menggunakan kemudahan sedia ada di kementerian, jabatan, agensi termasuk Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Sewa ruang pejabat baru dan tambahan, perpindahan pejabat ke bangunan lain atau membuat pengubahsuaian pejabat sedia ada juga tidak dibenarkan.
Sebarang perbelanjaan bagi pembelian aset termasuk pembelian kereta, perabot, komputer dan kelengkapan pejabat lain yang belum komited, hendaklah ditangguhkan.
Perhiasan dan jamuan perlulah sederhana dan majlis sebolehnya dibuat menggunakan kemudahan sedia ada Kerajaan.
Pemberian cendera hati juga tidak digalakkan dan sekiranya ia benar-benar perlu hendaklah dihadkan kepada buku, kraf tangan atau produk makanan tempatan. Pembekuan jawatan baru dalam Jabatan Kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan awam kecuali bagi jawatan tertentu dan kritikal dalam bidang pendidikan, kesihatan dan penguatkuasaan serta jawatan yang secara langsung dapat menambah kutipan hasil negara. Ia turut bermakna penyusunan semula organisasi melibatkan kementerian, jabatan dan badan berkanun tidak dibenarkan kecuali bertujuan memperkemaskan struktur organisasi tanpa melibatkan pengwujudan jawatan baru atau untuk mengurangkan bilangan tenaga pekerja. Tiga jawatankuasa bagi menangani inflasi diwujudkan iaitu, jawatankuasa berkaitan dengan peningkatan kecekapan dalam menggunakan sumber-sumber tenaga, jawatankuasa menambah baik perkhidmatan bas dan jawatankuasa media yang berfungsi menyebarkan maklumat keputusan majlis.
Monday, June 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment