Pada hari dan bulan yang baik ini, kenapa tajuk di atas menjadi pilihan? Kenapa kita perlu ada garisan tersendiri yang membataskan apa dan kenapa sesuatu perkara itu perlu dilakukan. Kenapa ‘orang putih’ tidak perlu ada garisan yang membataskan sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan. Kenapa itu dan kenapa ini ? Banyak sangat yang tidak bolehnya ! Kemudian kita pergi lagi kepada ‘hidup dikandung adat dan mati dikandung tanah’. Sebut mati tahu pulak takut, tapi persediaan untuk mati tidak pula dilaksanakan secukup rasanya.
Banyak sangat yang tidak bolehnya dalam masyarakat Melayu, yang bolehnya terus meminta dan meminta lagi, tak cukup betis diberi, hendak pula yang atas lagi. Justeru itu, sedapat-dapatnya marilah kita mengubah persepsi sedemikian dan membina perkara baru yang dapat membentuk serta memimpin generasi ‘Melayu Baru’. Sekiranya kita tidak memulakan dari hari ini, siapa lagi yang boleh mengurangkan gejala sosial masyarakat Melayu di Malaysia yang tercinta ini. Semua pihak perlu ada rasa tanggungjawab sejajar dengan pembangunan pesat yang berlaku di Malaysia. Jangan kita hanya menuding jari kerana sesungguhnya setiap individu yang diberi tanggungjawab sebenarnya memegang amanah untuk dilaksanakan. Amanah-amanah ini kalau tidak banyak, sedikit pun, ianya tetap dipandang mulia sekiranya berjaya dilaksanakan. Perspektif kepuasan walaupun subjektif sifatnya, tetapi tetap ada ganjaran yang menanti. (Ingat ini bukan cerita berkenaan dengan pertimbangan moral yer- hukuman atau ganjaran untuk diberi kepada anak-anak). Ini lebih merupakan satu ransangan psikologi untuk kita membuat yang terbaik dalam apa-apa perkara sekalipun. Tidak salah rasanya apabila bercuti atau membeli kelengkapan baru sebagai ganjaran atas kejayaan menyempurnakan sebarang amanah yang dipertanggungjawabkan. Cuma perlulah berpada-pada supaya sama dengan ukuran kejayaan tugasan yang telah disempurnakan itu.
Berbalik kepada Garisan Melayu, sebenarnya keadaan menuntut yang lebih dari itu, ‘janganlah kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar’. Bukan semua yang tidak baik itu dari ‘orang putih’ atau pun ‘Kerajaan Warisan orang putih’, tetapi sungguh banyak nilai yang baik-baik boleh dicontohi, dan bukan juga Melayu itu semuanya layu, dan bukannya sentiasa inginkan jawatan penting dalam parti, sehingga sanggup mengetepikan agenda Melayu. Ada perkara penting lain yang perlu diperkasakan lagi serta perlukan penyatuan. Jangan pula nak ingat berdemonstrasi sahaja sebagai jalan untuk menyuarakan keadilan. Ayuhlah Melayu, bangkitlah! Jadikan Malaysia ini sebagai asas kekuatan bangsa Melayu dalam segala bidang. Itu sebabnya, kedatangan Islam telah mengubah persepsi masyarakat Melayu di Nusantara dan berjaya menyatukan umat manusia selaras dengan kata-kata ‘Kesatuan dalam Kepelbagaian’.
Apa yang boleh ditetapkan buat masa ini ialah, kita masih ada masa untuk berubah ! Perubahan ke arah yang lebih baik samalah seperti penghijrahan jiwa, minda dan hati, menuju satu anjakan bagi melahirkan semula semangat baru untuk terus hidup cemerlang. Kesimpulannya, mercu tanda kejayaan sentiasa menanti pada setiap insan yang mahukan perubahan ke arah penghidupan yang lebih aman dan harmoni.
Monday, April 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment