Thursday, March 19, 2009

Laporan skim pencen pekerja swasta siap empat bulan

Laporan mengenai cadangan penubuhan skim pencen kepada pekerja-pekerja swasta melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan siap dalam masa empat bulan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata sebagai permulaan, kementerian telah mengambil inisiatif dengan mengadakan perbincangan awal di antara agensi-agensi kerajaaan yang terlibat iaitu Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan KWSP.

“Kerajaan bersetuju untuk meninjau kemungkinan mewujudkan suatu skim pencen bagi faedah pekerja sektor swasta dan berharap dalam beberapa bulan iaitu empat bulan satu laporan akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya menjawab soalan dari Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dr Puad bertanya mengenai pembelaan kerajaan terhadap golongan pesara di sektor swasta dan skim pencen swasta.

Subramaniam berkata kerajaan perlu menimbang skim pencen kebangsaan itu dengan mengambil kira pandangan dari semua pihak termasuk faedah untuk pekerja sektor swasta.

“Kerajaan prihatin terhadap semua pekerja termasuk sektor swasta, kita mahu wujudkan satu sistem yang sesuai untuk semua rakyat yang bekerja daripada sekarang supaya selepas bersara mereka akan dapat pencen sepanjang hayat mereka,” katanya. Sebelum ini, pada Jan lepas, Bernama melaporkan kabinet telah meminta Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan kertas kerja mengenai skim itu untuk diserahkan kepada Kementerian Kewangan yang akan bertanggungjawab dalam melaksanakan skim itu.

Kepada soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mengenai had umur bersara yang diwajibkan kepada pekerja sektor swasta sepertimana sektor awam, Subramaniam berkata keperluan sesuatu pekerjaan itu berbeza di antara sektor swasta dan kerajaan serta Akta Kerja memberi kebebasan untuk majikan menentukan umur bersara yang sewajarnya. — Bernama


Sumber : Utusan

Satu lagi sumbangan Kerajaan yang bermakna sekiranya berjaya direalitikan.

No comments: