Monday, March 23, 2009

Hentikan fitnah – PM

BANDAR RAYA KUWAIT 23 Mac – Ahli-ahli UMNO diingatkan supaya menghentikan perbuatan fitnah, bercakap bohong atau memburuk-burukkan sesama rakan menjelang pemilihan UMNO kerana itu bukan cara mendapat undi untuk mengalahkan calon yang bertanding jawatan-jawatan tertentu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, sebaliknya mereka yang berbuat demikian akan menghadapi risiko diambil tindakan, termasuk oleh pihak berkuasa jika terbukti melakukan perbuatan tidak bertanggung jawab itu.

Menurutnya, perbuatan fitnah memfitnah, kata mengata atau memburuk-burukkan seseorang bukan menjadi asas kepada ahli untuk memilih kepimpinan UMNO.

“Yang penting ahli-ahli UMNO akan membuat pilihan berasaskan kepada sejauh mana mereka mengenali calon dan sejauh mana mereka dapat menilai apa jua peranan yang dilaksanakan oleh calon-calon untuk beberapa tahun sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan rasminya ke Kuwait di sini hari ini.

Ingatan tegas Perdana Menteri itu dibuat menjelang pemilihan pucuk kepimpinan UMNO minggu ini sebagai mengulas dakwaan wujudnya perbuatan tidak sihat seperti memburuk-burukan calon-calon tertentu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selain itu, Abdullah berkata, ahli-ahli juga akan membuat pilihan berasaskan kepada sumbangan calon-calon serta kemampuan mereka untuk memimpin.

“Tiba masa mengundi saya percaya perkara-perkara yang berupa kekecohan, kata mengata, fitnah memfitnah atau apa yang dilakukan menggunakan SMS tidak diambil kira,” jelasnya.

Apa yang diambil kira, tegas beliau, ialah siapa yang dianggap baik menjadi pemimpin parti dan siapa boleh berada dalam pucuk kepimpinan parti.

“Itu adalah pertimbangan terakhir yang ada dalam pemikiran ahli, bukan duit yang mereka dapat. Saya tahu perkara ini kerana saya sudah lama dengan parti,” kata Abdullah.

Menurut beliau, tindakan boleh diambil terhadap penyebar fitnah jika mangsa membuat aduan polis di atas perbuatan pihak tertentu yang berbaur hasutan dan memalukan mereka.

Katanya, apabila aduan dibuat dan pihak berkuasa mendapati ada kes, tindakan sewajarnya sudah pasti diambil terhadap pihak yang melakukan perbuatan tidak bertanggung jawab itu.

Mengenai reformasi dalam UMNO seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah berkata, beliau menyambut baik jika ia dapat memberi kebaikan kepada parti.

“Saya percaya jika ia untuk kebaikan parti, ahli-ahli akan memberi sokongan,” katanya.

Sumber – UTUSAN.


Ingatan dari Perdana Menteri ini sangat penting bukan sahaja kepada ahli UMNO, tetapi buat semua pihak yang ingin mengambil peringatan.

No comments: