Sunday, March 15, 2009

Jawatankuasa pemantauan bagi Pakej Ransangan sangat sesuai

Satu jawatankuasa pemandu ditubuhkan untuk memantau dan memastikan kedua-dua pakej rangsangan ekonomi masing-masing bernilai RM7 bilion dan RM60 bilion dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib ketika mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu berkata, penilaian pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan itu dibuat berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai penanda aras pelaksanaan dalam tempoh yang ditetapkan.

''Ia juga bagi memastikan projek-projek itu dapat memberi manfaat dalam jangka waktu yang pendek kepada rakyat dan negara,' katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jawatankuasa pemandu itu dianggotai oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Kata Najib, pihaknya akan berunding dengan jawatankuasa teknikal kementerian yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abd. Aziz Wan Abdullah dan anggota-anggota Unit Pengurusan Projek untuk mendapatkan maklumat mengenai pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan ini.

''Jawatankuasa teknikal pula diarah bermesyuarat setiap minggu bagi meneliti perkembangan pelaksanaan projek-projek yang dijalankan dalam pakej rangsangan pertama dan kedua," katanya.

Najib memberitahu, penubuhan jawatankuasa itu merupakan mekanisme baru yang akan memberi keyakinan kepada rakyat bagi memastikan perbelanjaan peruntukan dalam pakej rangsangan pertama.

Katanya, ini termasuk projek-projek yang dilaksanakan dalam pakej rangsangan kedua akan dapat mencapai sasaran.

Jawatankuasa tersebut juga, katanya, mempunyai kuasa untuk campur tangan di mana perlu bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan mencapai sasaran.

Ujar beliau, penubuhan jawatankuasa itu juga adalah saranan ahli-ahli Parlimen semasa membahaskan pakej rangsangan tersebut mengenai pelaksanaannya.


Sumber : Utusan


Ikut Kata Pemimpin !

No comments: