Apabila duduk di depan televisyen menjelang waktu perdana, tergambar sudah akan berita-berita menarik yang terbaru dan sudah pasti menjadi tumpuan. Namun begitu, lain pula ceritanya, ‘Berita Jam 8’ bukan lagi dinobatkan sebagai ‘waktu perdana’. Dunia sudah berubah, negara sudah maju dan ‘waktu perdananya’ juga telah berganjak ke jam 9. Agak mengejutkan, lebih-lebih lagi ingin mengubah kebiasaan yang selama ini menjadi amalan bagi kita yang sentiasa tercari-cari informasi terkini.
Perubahan siaran itu sebenarnya lebih membuatkan penonton fokus terhadap apa yang ingin dicari. Kalau setakat inginkan hiburan sahaja, begitu banyak terhidang di siaran TV2. Malah siaran lain juga tidak terkecuali, sehingga kadang-kadang terfikir pula, sekarang tinggal di mana, bumi Malaysia ke atau di ‘negara jiran’. Apa yang lebih utama di sini ialah, rakyat Malaysia mahukan informasi berkaitan Negara Malaysia, tanah air tercinta. Pembangunan yang pesat dari segi rohani dan fizikal yang boleh terus memberikan inspirasi, maklumat terkini, kisah dan tauladan, sejarah dan pengajaran serta dapatan atas kajian. Itulah sebenarnya yang penonton inginkan di TV1. Jadi, sangat bersesuaianlah perubahan yang RTM laksanakan itu.
Kita telah ‘terbiasa’ dan apabila ingin berubah mungkin mengambil sedikit masa, seperti mana juga apabila seharian menikmati kelazatan ‘Nasi Goreng’, tetapi diubah pula kenikmatan tersebut dengan hidangan yang lain. Mesejnya sampai, ‘ingin kenyang’ tapi kaedahnya berbeza.
Perubahan yang dibuat ke arah lebih memartabatkan sistem penyiaran negara ini telah mendapat reaksi yang pelbagai sehingga terfikir kenapa ‘orang kita’ ini sukar menerima sesuatu pembaharuan. Walhal, ini adalah untuk kebaikan negara. Peruntukan yang besar sekalipun tidak boleh dijadikan alasan, kerana setiap perbelanjaan pembangunan mestilah bersandarkan pada kajian ekonomi, mestilah ada ‘kos lepas’ dalam setiap keputusan yang dibuat, tapi pada kadar yang minima dan mengutamakan perkara yang utama. Inilah perkara utama dalam sistem penyiaran, iaitu mempertingkatkan kaedah penyampaian kepada penonton, dapat memahami apa yang yang penonton inginkan serta tidak pula mengutamakan siaran luar. Biarlah negara dengan acuan dan adunan kita sendiri.
Kita juga semua sedia maklum bahawa perubahan dalam sistem penyiaran khususnya di negara maju seperti penukaran siaran analog kepada digital telah mula dilaksanakan pada masa ini, namun, Malaysia baru hendak mengorak langkah. Hanya pada tahun 2012, sistem itu dijangka akan diaplikasi sepenuhnya di negara kita. Kritikan yang diberi oleh pelbagai pihak tidak wajar dijadikan alasan untuk RTM tidak berani melakukan perubahan. Sampai bila masyarakat tidak akan selesai mengkritik kerana orang Malaysia ‘sudah biasa’ tidak berapa berani membuat perubahan, tetapi lama kelamaan apabila sudah biasa dengan sistem yang baru, akan ‘rindu’ pula untuk berubah ke arah sistem baru lain yang ingin dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita terima perubahan dengan hati yang lebih terbuka. Jadi fikir-fikirkanlah.
Tuesday, January 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment