Wednesday, January 7, 2009

Kabinet lulus gerakan massa benci keganasan

PUTRAJAYA 7 Jan. - Kabinet hari ini bersetuju supaya gerakan massa untuk menyemai kesedaran membenci keganasan di kalangan golongan muda dilaksanakan secara besar-besaran oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia melalui pertubuhan-pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) negara ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu telah diambil maklum dan dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi ini.

''Selaku Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), saya bersama Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Penerangan, Datuk Shabery Cheek dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri komited untuk memastikan suara generasi muda terus didengar di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Serentak itu, Hishammuddin berkata, Persidangan Antarabangsa Mengenai Belia dan Keganasan yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 28 Februari depan di Kuala Lumpur mungkin diawalkan berikutan perkembangan terkini di Palestin.

Persidangan tersebut merupakan antara langkah awal pada permulaan tahun 2009 dalam usaha sejagat untuk menyedarkan golongan muda ke arah lebih cintakan keamanan dan menolak sebarang unsur-unsur berbentuk keganasan, katanya.

Hishammuddin menambah, ia penting untuk mewujudkan gelombang baru kepada golongan muda agar bangkit memastikan keamanan sejagat terus terpelihara.

''Keganasan mesti dilihat bukan sahaja dari kalangan non state actors tetapi juga state actors seperti Israel," katanya.

Persidangan dijangka disertai para pemimpin belia yang terdiri daripada ahli-ahli politik muda, pemimpin pelajar, pemimpin muda masyarakat serta NGO dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 26 negara anggota Information For All Programme (IFAP) iaitu satu program antara kerajaan di bawah UNESCO, akan turut serta dalam persidangan ini.

''Ini adalah komitmen terbaru daripada kerajaan dalam memainkan peranan di peringkat global dalam mewujudkan kefahaman sejagat, perkongsian pengetahuan serta pengalaman di kalangan generasi muda serata dunia," katanya.


Sumber : Utusan


Keamanan sejagat adalah perkara utama dalam usaha untuk memastikan dunia sentiasa aman untuk diduduki. Keamanan tersebut juga akan dapat lebih dinikmati sekiranya pengagihan kek ekonomi dinikmati secara adil di semua negara di dunia. Oleh itu, marilah sama-sama berusaha ke arah tersebut melalui implementasinya yang permulaan di Malaysia.

No comments: