Wednesday, November 12, 2008

'Jadikan Kewangan Islam sebagai peneraju'

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sistem kewangan Islam berpeluang untuk berada di hadapan dan menjadi peneraju dalam era pertumbuhan baru.

Perdana Menteri berkata, sistem berkenaan kini dilihat sebagai adil dan saksama kerana menawarkan perkongsian menang-menang kepada pihak yang terlibat dalam kontrak dan bukan hanya ditanggung oleh satu pihak.

''Seperti mana diketahui, kewangan Islam adalah berlandaskan prinsip perkongsian keuntungan di mana kedua-dua pihak dalam kontrak tertakluk kepada potensi kerugian dan juga keuntungan.

''Krisis semasa kewangan global telah menunjukkan perlunya sistem sedemikian, dan semakin ramai pemerhati sedang menimbang untuk menjadikan kewangan Islam sebagai satu pilihan,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis perasmian cawangan pertama pusat kewangan Standard Chartered Saadiq Bhd. (StanChart Saadiq) di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini hari ini. Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Standard Chartered, Tan Sri Datuk Mohd. Sheriff Mohd. Kassim dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Julian Wynter.

Sehubungan itu kata Abdullah, kewangan Islam harus bersedia untuk menghadapi dimensi baru dalam memenuhi perubahan permintaan perniagaan dalam persekitaran yang semakin global.

''Sistem kewangan Islam perlu segera berintegrasi dengan sistem kewangan antarabangsa dan membuktikannya sebagai pilihan yang berdaya maju kepada sistem konvensional yang diamalkan di kebanyakan negara dunia,'' kata Abdullah.

Katanya, dengan berubah menjadi elemen penting dalam kewangan sejagat, sistem kewangan Islam akan meletakkan pada kedudukannya sebagai perkhidmatan kewangan yang tersendiri atau butik khidmat kewangan.

Perdana Menteri berkata, untuk menjadikan sistem kewangan Islam efektif kepada sistem kewangan global, rangka kerja perundangan perlu diwujudkan untuk memberikan kredibiliti kepadanya.

Dalam sistem kewangan Islam, jelas Abdullah, pemakaian konsisten perundangan Islam atau Syariah harus menjadi asas kepada semua transaksi sama ada domestik atau antarabangsa dan pengamalnya perlu mengambil pendekatan 'hikmah' dalam memastikan kejayaan pembaharuan di peringkat antarabangsa.

''Saya menyokong kuat kepada pelaksanaan pembaharuan perubahan sistem kewangan global dengan menerapkan 'hikmah' kewangan Islam sebagai asas perubahan itu. Saya percaya kita perlu menunjukkan komitmen yang serius terhadap perkara ini,'' katanya.

Tambah Abdullah, Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk meneraju sebarang usaha untuk memperkenalkan pembaharuan sistem kewangan Islam dengan menyemai konsep dan tema yang dipinjamkan dari kewangan Islam.


Sumber : Utusan

No comments: