Monday, November 10, 2008

Bukan Cina tak boleh jadi PM Singapura realistik – Rais

Pendirian kepimpinan Singapura yang menegaskan republik itu belum bersedia memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat menunjukkan penduduk negara itu sebenarnya bersikap realistik terhadap politik majoriti dan perkauman.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, berdasarkan pendirian itu, seluruh rakyat Malaysia juga seharusnya menerima hakikat bahawa majoriti yang memegang tauliah politik di negara ini ialah orang Melayu.

Menurut Rais, sejak tertubuhnya UMNO yang menjadi tulang belakang politik Malaysia pada 1946, orang Melayu merupakan kaum yang mempunyai kuasa politik terbesar.

‘‘Perdana Menteri Singapura (Lee Hsien Loong) sendiri mengakui belum sampai masanya orang Melayu (di Singapura) menjadi Perdana Menteri. Di Malaysia, inilah juga hakikat yang perlu dilihat.

‘‘Saya berani katakan bukan Melayu pun belum sampai masanya menjadi Perdana Menteri di Malaysia dan ia tidak akan menjadi kenyataan sebab majoriti tenaga politik di sini ialah Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Calon Naib Presiden UMNO itu ditanya pandangannya mengenai kenyataan Hsien Loong bahawa Singapura yang mempunyai penduduk berbilang kaum berjumlah lebih 3.5 juta orang belum bersedia memilih Perdana Menteri bukan Cina dalam tempoh terdekat.

Hsien Loong membuat kenyataan tersebut kelmarin semasa dialog dengan anggota masyarakat Melayu di republik itu sebagai menjawab soalan sama ada pemilihan Barack Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat (AS) bermakna anggota kaum minoriti di Singapura turut berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Rais yang merupakan pakar Perlembagaan Persekutuan berkata, hakikat bahawa orang Melayu adalah pemegang kuasa politik Malaysia tidak boleh dilenyapkan begitu sahaja.

Kata beliau: ‘‘Pihak-pihak lain mesti akur dengan apa yang telah diehsankan oleh kontrak sosial.

‘‘Kita sudah ehsankan hak-hak mereka (kaum-kaum lain), maka tidak harus ada pihak yang seolah-olah bersikap buta tuli tentang perkara-perkara sensitif yang harus dilenyapkan hanya semata-mata kerena mereka menjangkakan UMNO telah lemah ketika ini.”

Kemenangan Obama di AS mencetuskan analisis politik di kalangan pihak tertentu di negara ini sehingga ada suara pemimpin bukan Melayu yang mahukan bukan Melayu diberi peluang menjadi Perdana Menteri.

Khamis lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sudah sampai masanya bagi rakyat Malaysia membebaskan diri mereka daripada belenggu isu perkauman.

Dengan mengambil Obama sebagai contoh, Tee Keat berkata: ‘‘Sedihnya di Malaysia, kita masih berbalah dalam soal remeh berhubung pelantikan seorang wanita Cina sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).”

Tindakan kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS dipersoalkan banyak pihak kerana dikatakan tidak memenuhi aspirasi penubuhan PKNS bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi bumiputera



Sumber : Utusan

1 comment:

bungaraya said...

Malayisa - Bukan waktunya nak jadikan Non-Bumi sebagai PM. Lihat saja perlantikan Non-Bumi sebagai Pengerusi PKNS. Menjadi isu hangat dipasaran.
Sila layari chilliriver.blogspot.com dan berikan komen anda sebaiknya. Thanks. Aku orang Borneo juga bah.