Monday, September 8, 2008

Perpaduan

PUTRAJAYA 8 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memanggil Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail esok bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan terbarunya yang mendesak Gerakan keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Malah, kata Perdana Menteri, beliau akan membuat pendirian tegas esok berhubung kemelut yang berlaku antara Ahmad dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Sambil melahirkan rasa amat tidak gembira dengan tindak-tanduk Ahmad itu, Perdana Menteri berkata, bentuk tindakan yang akan diambil bergantung kepada penjelasan yang diberikan oleh Ahmad.

‘‘Saya dimaklumkan tentang perkara ini, jadi dia (Ahmad) kena jelaskan kenapa jadi begitu dan selepas itu kita akan tentukan bentuk tindakannya.

‘‘Dia tidak boleh tuduh begitu (minta Gerakan keluar daripada BN)... sepatutnya serahkan perkara ini kepada BN, bukan haknya untuk kata begitu,” katanya.

Abdullah ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dengan Duta-Duta Besar dan para perwakilan asing Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Wisma Putra di sini malam ini.

Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) esok.

Petang ini, Ahmad yang mengadakan sidang akhbar bersama penyokongnya di Wisma UMNO, Pulau Pinang mendesak supaya Gerakan keluar daripada BN kerana mendakwa kehadiran parti itu hanya mengkucar-kacirkan perpaduan dalam komponen tersebut.

Sebelum ini, beliau mencetuskan polemik apabila didakwa mengeluarkan kenyataan pada satu ceramah di Permatang Pauh pada 23 Ogos lalu bahawa masyarakat Cina hanya menumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan kaum bumiputera.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan pemimpin Gerakan dan MCA yang menuntut Ahmad meminta maaf secara terbuka.

Sumber : Utusan

No comments: