Monday, July 7, 2008

Jepun pun percayakan cara Islam

Bank Jepun dipelawa adakan kerjasama kewangan Islam

OSAKA 7 Julai - Bank-bank Jepun dipelawa untuk bekerjasama dengan bank-bank Malaysia dalam bidang perkhidmatan kewangan Islam, khususnya bagi memasuki pasaran ASEAN dan Timur Tengah.

Ketika menyatakan demikian, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kewangan Islam telah berevolusi menjadi sebahagian penting sistem kewangan antarabangsa.

Kewangan Islam kini ditawarkan di lebih 75 negara, dengan jumlah asetnya lebih AS$1 trilion (RM3.26 trilion).

"Dijangkakan menjelang tahun 2010, perbankan Islam bakal menjadi lebih 20 peratus daripada industri perbankan global," katanya kepada kira-kira 500 ahli perniagaan Jepun pada seminar bertajuk Peluang Perniagaan di Malaysia yang diadakan di sini hari ini.

Muhyiddin mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun selama enam hari mulai 5 Julai.

Turut hadir pada seminar itu ialah Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noharuddin Nordin, dan Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman.

"Saya difahamkan Jepun berminat terhadap pembiayaan cara Islam, satu bidang yang Malaysia ada pengalaman dan kepakaran meluas," kata Muhyiddin.

Beliau berkata, permintaan bagi produk kewangan Islam semakin meningkat di Asia Barat dan Malaysia serta dalam ekonomi-ekonomi bukan Islam di Barat.

Katanya, Malaysia amat berhasrat memanfaatkan trend pertumbuhan ini dan menempatkan dirinya pada kedudukan sebagai hab antarabangsa bagi perbankan Islam.

"Tumpuan khusus dalam bidang ini ialah pasaran bon Islam, juga dikenali sebagai sukuk. Pasaran ini menjadi saluran penting bagi kegiatan mengumpul dana dan pelaburan dan berpotesi besar dalam pasaran global," tegasnya.

Turut menyertai misi ini ialah wakil 16 syarikat dari Malaysia, bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Matrade dan MIDA yang memudah cara pertemuan perniagaan dan sesi soal jawab menyeluruh dengan menteri.

Osaka, persinggahan pertama misi ini, adalah satu daripada sembilan daerah pentadbiran dalam wilayah Kansai. Ia adalah penyumbang terbesar kepada pengeluaran dalam negara kasar (KDNK) wilayah ini dengan sumbangan sebanyak 41.2 peratus atau AS$373 bilion (RM1.22 bilion).

Wilayah Kansai mempunyai KDNK tergabung sebanyak AS$904 bilion, menjadikannya yang ke-10 terbesar di dunia jika ia dianggap sebagai sebuah negara berasingan, selepas Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

Jepun adalah rakan perdagangan ketiga terpenting bagi Malaysia dan menyumbang 10.9 peratus daripada keseluruhan perdagangan global Malaysia yang berjumlah AS$322.7 bilion (RM1.05 bilion) tahun lepas.

Muhyiddin akan berlepas ke destinasi pelaburan terakhir iaitu Yokohama pada 8 Julai.

- Bernama

Sumber : Utusan

No comments: