Wednesday, May 28, 2008

Majlis Tindakan Pelancongan dan promosi

Produk pelancongan yang ada di setiap negeri di dalam negara perlulah diperkasakan untuk menarik perhatian pelancong. Promosi yang bersesuaian dan pendedahan yang lebih baik akan membuatkan tempat-tempat tertentu menjadi tarikan pelancong terutama dari luar negara.

Kita tidak boleh menumpukan kepada satu-satu tempat atau produk sahaja untuk membolehkan negara menjadi salah satu tempat tumpuan yang selama ini diidam-idamkan oleh setiap individu untuk datang dan melawat. Daya tarikan yang ada di negara ini cukup banyak banyak terutama apabila memperkatakan tentang tempat bersejarah dan makanan yang enak-enak.

Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) wajarlah menggunakan peruntukan yang ada bagi menyusun strategi dan pelan tindakan agar jalinan kerjasama yang wujud sekian lama berjaya menjadikan negara ini tempat tumpuan setiap masa, dan tidak kira apakah acaranya.

Untuk apa lebuhraya

Lebuhraya yang dibuat oleh Kerajaan pada hari ini adalah untuk kemudahan rakyat dalam perjalanan seharian. Peningkatan ekonomi serta perubahan sosial yang mendadak akan membawa rakyat yang menerima tempias perubahan turut sama berubah terutama dari segi cara hidup.

Walau bagaimanapun, sesuatu lebuhraya yang ingin dilaksanakan oleh Kerajaan khususnya tanggungjawab Kementerian Kerja Raya ini, perlulah melalui satu kajian yang terperinci untuk mengelakkan berlakunya pembaziran wang rakyat.

Ahli Parlimen setempat yang telah menjadi wakil kepada rakyat sesuatu kawasan itu haruslah juga memikirkan akan tanggungjawab serta peruntukan yang ada dalam setiap rancangan pembangunan Kerajaan itu. Janganlah pula asyik memikirkan tentang rancangan setempat tetapi tidak begitu relevan untuk pelaksanaannya pada hari ini.

Bawa-bawalah berbincang serta menyediakan kajian yang benar dan berfakta. Jangan hanya sekadar cakap kosong sahaja.

Ingatlah bahawa kata-kata yang lebih berfakta akan membawa kesan yang terurus untuk keseluruhan kebajikan rakyat.

Tuesday, May 27, 2008

Bahasa itu adalah cerminan bangsa

Tahap terbaik yang ada dalam menentukan sopan santunnya seseorang individu itu berbahasa ialah apabila maksud yang ingin disampaikan diterima dengan baik dan orang yang menerima kata-kata tersebut senang dengan apa yang dituturkan.

Justeru itu, apabila Ahli Parlimen yang menjadi wakil kepada rakyat tidak menuturkan perkara yang baik, malah kadang-kadang lebih dari itu sehingga membawa konotasi yang lucah, buruk, hina, dan sebagainya perlulah ditegur selaras dengan peraturan yang ada di Parlimen.

Oleh itu, sebagai Ahli Parlimen wajarlah mereka menjadi model kepada rakyat yang telah mengundi.

Langkah memperbaiki kehidupan masyarakat luar bandar

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menggariskan langkah-langkah tertentu bagi membantu memperbaiki taraf hidup masyarakat luar bandar. Satu perkara yang menarik dan perlu diberi perhatian demi kemakmuran penduduk di luar bandar ialah mempergiatkan pembangunan modal insan melalui program pendidikan sepanjang hayat. Di samping itu, antara langkah lainnya ialah membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan sehingga separuh kemiskinan luar bandar menjelang 2010.

Kementerian juga akan membangunkan kawasan terpencil dan meningkatkan kualiti infrastruktur asas serta memperkecilkan jurang digital yang ada di antara bandar dan luar bandar.

Di samping itu, Kementerian juga bertekad untuk melonjakkan ekonomi di luar bandar melalui promosi produk desa dan 'Delivery system' akan diperbaiki.

Monday, May 26, 2008

Pulau Batu Putih Pulau Putih Mata

Kekecohan yang timbul di Dewan Rakyat berkenaan dengan keputusan hak milik Pulau Batu Putih memang ada kebenarannya. Sungguhpun demikian, apalah ertinya sebuah kekecohan yang umpama 'suam-suam kuku' sahaja sekiranya tidak terus diambil iktibar oleh semua pihak. Perkataan yang lebih mudahnya, apalah ertinya kekecohan tanpa usaha yang sepatutnya dilaksanakan.

Justeru itu, kedaulatan persempadanan negara dalam segala segi perlulah diperhalusi, didaulatkan dan seterusnya diperkukuhkan kekuatan yang ada bagi kelangsungan generasi hari ini, dan untuk yang seterusnya.

Penjelasan yang dibuat oleh Menteri Besar Datuk Ghani Othman berkenaan Pulau Pisang yang terletak di luar perairan Pontian juga perlu dipandang berat. Walaupun tidak perlu risau akan kedaulatannya, tindakan bagi menguruskan pulau itu perlulah dibuat.

Sebuah rumah api yang diuruskan oleh Singapura di pulau itu sepatutnya diuruskan oleh pihak negara ini. Keperluan rumah api itu walaupun sekadar untuk laluan perkapalan, mestilah diperjelaskan agar tidak timbul isu di kemudian hari.

Rancangan membangunkan pulau tersebut perlulah dilaksanakan dengan segera. Pulau Pisang itu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai aset negara.

Wednesday, May 21, 2008

Makanlah Beras Malaysia

Kenapa bila harga gula naik, orang tidak menyalahkan pihak tertentu yang selama ini memonopoli produk asas ini ? Bila harga beras naik, sibuk pula masyarakat kita menuding jari kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas). Walaupun ada individu tertentu yang mempunyai 'kebenaran tertentu' membawa masuk produk beras luar negara ini, namun bukan itu yang menjadi ukuran kenaikan harga beras yang selama ini jarang benar diperkatakan.

Ukuran kenaikan harga petroleum, bencana alam serta ancaman penyakit terhadap padi telah membenarkan cita-cita YAB Perdana Menteri tentang pentingnya negara menjadi sebuah kuasa pertanian yang unggul. Sekarang barulah tahu kenapa YAB Perdana Menteri yang kita hormati mempunyai agenda tersendiri, yang benar-benar inginkan rakyat negara ini menikmati hasil dari tanah air sendiri tanpa terlalu mengharapkan produk import.

'Berbudi kepada tanah' tinggi nilai pulangannya !

Pembelaan kepada nelayan

Apa-apa projek yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini begitu mengambil berat nasib dan keuntungan yang akan diperolehi oleh rakyat. Justeru itu, tidak timbul 'cakap-cakap' pihak tertentu yang sengaja menangguk di air keruh bahawa Kerajaan tidak mementingkan rakyat dalam projek-projek tertentu.

Apabila mengambil contoh akan projek di Pelabuhan Ikan Tuna Batu Maung, Pulau Pinang ini, begitu besar sumbangan yang telah diberi oleh Kerajaan Pusat. Malah, YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyatakan untuk memberi satu kepastian dan pemantauan berterusan akan tahap kemudahan yang ada di pelabuhan tersebut adalah selesa, serta yuran yang dikenakan pada kadar yang berpatutan. Di samping itu, yang paling penting juga adalah berkaitan dengan peningkatan pendapatan mereka yang terlibat dalam sektor tersebut serta berjaya membasmi kemiskinan.

Pegawai Kerajaan Yang lebih Berdisiplin

Key Perfomance Index (KPI) yang telah diguna pakai untuk pegawai dan kakitangan Kerajaan telah terbukti berjaya meningkatkan tahap pencapaian dan disiplin mereka. Walaupun terdapat kritikan yang keras terhadap individu tertentu terutama berkaitan dengan integriti dan moral, namun Kerajaan telah berjaya menerapkan nilai yang murni dalam perkhidmatan awam Malaysia.

Di samping itu, kekuatan pencapaian setiap pegawai awam yang ada pada hari ini sehingga mendapat pengiktirafan dunia adalah kerana amalan pihak Kerajaan yang memandang serius pembangunan sumber manusia termasuk dari aspek tindakan tertentu dan pemantauan berterusan, serta pelaksanaan setiap peraturan dengan telus. Justeru itu, tidak berbangkit isu pegawai awam yang tidak berdisiplin.

Kerajaan juga begitu mengambil berat tentang kebajikan pegawai awam termasuk menyediakan kemudahan-kemudahan tertentu seperti penyediaan tempat tinggal yang selesa, atau elaun-elaun yang munasabah bagi tujuan keselesaan setiap penjawatnya. Malah, pegawai-pegawai yang mempunyai potensi akan diberi peluang kenaikan pangkat, anugerah khidmat cemerlang, kursus di dalam serta luar negara dan juga anugerah bintang kebesaran yang mengiktiraf sumbangan dan jasa individu tertentu ini.

Wednesday, May 14, 2008

Putrajaya ! Mentaliti Warganya Juga Mesti Berkelas

RM 11 BILLION TO DEVELOP PUTRAJAYA

KUALA LUMPUR, May 15 (Bernama) -- RM11 billion. That's the cost to develop Putrajaya, the new federal government administrative centre. To be exact, it is RM11,831 million.Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disclosed this in a written reply in the Dewan Rakyat to Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) Wednesday.He said it covered the construction of government offices and quarters, the Putrajaya International Convention Centre (PICC) and the official residences of the prime minister, deputy prime minister, ministers and judges."Apart from that, it also covered the development of infrastructure such as tunnels, roads, bridges, towers as well as public amenities like parks, squares and lakes," he said.Abdullah said the government offices in Putrajaya were constructed under the build, lease and transfer method. Putrajaya Holdings constructed the buildings on government land, leased them to the government for 25 years at a monthly charge of RM2.50 per sq ft and, at the end of the concession period, transferred the buildings to the government.

Sumber : Wira Malaysia


Fikir-fikirkanlah wahai umat Melayu. Bagaimana kos pembangunan yang sebegitu besar dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Mentaliti orangnya juga mestilah selaras dengan cita-cita dan harapan pemimpin negara. Jadilah insan yang lebih banyak memahami dan bukan asyik mengkritik sahaja.

Thursday, May 8, 2008

Ketuanan Melayu Sebagai Asas Tradisi Kedaulatan Negara

Sedar atau tidak berapa hendak sedar agaknya ! Begitulah pandangan atau luahan serong ahli politik yang sengaja ingin terus mengulangi kesilapan lampau iaitu asyik mempersoalkan tentang Kesultanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu serta tentang permasalahan Bahasa Melayu.

Setiap individu di negara ini wajar mengamalkan konsep Malaysian Malaysia iaitu memelayukan setiap apa yang datang dari luar. Acuannya sama iaitu setiap budaya orang yang datang ke Malaysia wajiblah tahu memakai baju Melayu, mengamalkan cara hidup Melayu serta menghormati orang Melayu sebagai masyarakat yang menjadi tunjang di Bumi Malaysia.

Ini adalah fakta ! Jadinya, kejayaan 'Multiracial' di bumi Malaysia adalah kerana pengiktirafan golongan terdahulu yang memandang tinggi kontrak sosial dengan tidak mempertikaikan hak orang Melayu. 'Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga'.

Tamadun Melayu itu bukannya bermula dari tahun 1957, tetapi melangkaui masa yang lebih jauh dari itu. Sistemnya sudah wujud berzaman lamanya dan orang luar ketika itu begitu menghormati apa sahaja perkara yang menjadi cara dan lambang hidup masyarakat Melayu.

Walaupun ini adalah kejayaan Malaysia melalui satu hubungan yang unik di peringkat kerjasama pelbagai kaum, tetapi hak-hak yang menjadi asas tetap tiada tolak ansurnya. Malah, kejayaan akan lebih gemilang lagi jika orang Melayu terus dihormati sejajar dengan tamadun mereka yang unggul.

Sunday, May 4, 2008

Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa

Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa Perjuangan yang sebenarnya di Malaysia bukan setakat mewujudkan satu resolusi yang dipersetujui bersama kerana telah begitu banyak ' kertas persetujuan bersama' dilakarkan, namun perkara yang sebenarnya mahukan yang lebih dari itu. UMNO memang tidak sedikit sumbangannya dalam aspek tertentu termasuk apabila dikaitkan dengan permulaan perjuangan bangsa ketika menuntut kemerdekaan.

Apa yang ingin disenarai putih kembali selepas PRU- 12 ialah berkaitan dengan perjuangan semasa dan terus memperkasakan Kerajaan yang diberi mandat pada hari ini.Perpaduan Melayu memang agak sedikit diuji oleh pihak tertentu yang inginkan lebih kuasa, namun demikian tidak ada apa yang perlu digusarkan sekiranya mereka sedar akan kuasa mutlak yang diperuntukkan dan juga jika mereka tidak ingin jadi ' pelarian di bumi sendiri'.

Jangan kerana perbezaan pendapat, rakyat marhaen pula menjadi mangsa.Kerajaan hari ini telah agak terbuka dalam sebarang isu yang timbul, jadi semua rakyat harus belajar menjadi seorang yang peka terhadap persekitaran. Sebarang berita yang sampai boleh jadi betul, atau boleh jadi palsu. Jadinya, jangan lekas melatah dan buatlah pertimbangan mengikut Al-Quran dan As-Sunnah. Marilah kita menjadi bangsa yang berdaulat serta mempunyai maruah yang tinggi.