Tuesday, February 17, 2009

Pilihan raya tiga 'Bukit' mungkin serentak

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan, Selangor, jika kerusi itu dikosongkan, diadakan serentak dengan DUN Bukit Selambau, Kedah dan Parlimen Bukit Gantang, Perak pada 7 April ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, bagaimanapun berkata ia bergantung kepada proses pengosongan kerusi itu termasuk tarikh SPR dimaklumkan oleh Speaker DUN Selangor.

"Saya belum menerima sebarang permohonan rasmi... cuma makluman daripada beberapa rakan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan meletakkan jawatan.



"Kemungkinan untuk berlaku pilihan raya kecil di tiga 'Bukit' secara serentak memang ada, tapi ia bergantung kepada proses pengosongan kerusi DUN Bukit Lanjan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat SPR ke-690 di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping, mengemukakan surat menawarkan peletakan jawatannya berikutan isu penyebaran gambar bogelnya di internet. Abdul Aziz berkata, selain dimaklumkan Speaker DUN Selangor berhubung pengosongan kerusi DUN berkenaan, Adun Bukit Lanjan itu juga perlu menulis surat peletakan jawatan kepada SPR tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Sebaik kita menerima dan mengkaji semua permohonan berkenaan, barulah SPR akan membuat keputusan mengenai tarikh pilihan raya kecil. Disebabkan pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Bukit Gantang masih jauh, sudah tentu logik ia diadakan serentak," katanya.


Sumber : Berita Harian


Tahun ini adalah tahun pilihanraya.

No comments: