KUALA LUMPUR 13 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa dunia Islam dan Barat mengalihkan fokus kepada perkara yang boleh menyatukan mereka agar jurang yang wujud selama ini dapat diatasi.
Perdana Menteri berkata, daripada hanya menumpukan kepada soal perbezaan, pemimpin dari kedua-dua dunia itu sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu-isu yang dapat menyatukan mereka.
"Agak jelas kepada saya bahawa dalam mendamaikan Amerika Syarikat (AS) atau Barat dengan dunia Islam kita tidak seharusnya melihat kepada penyelesaian terhadap perkara yang menjadi jurang sahaja sebaliknya ia perlu turut melibatkan faktor- faktor yang menyatukan.
"Dengan hanya menyelesaikan satu isu dan mengabaikan isu yang satu lagi tidak akan membawa kita ke mana-mana," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Serantau Amerika Syarikat (AS) dan Dunia Islam di sini hari ini.
Forum dua hari bermula hari ini yang dihadiri kira-kira 100 peserta dari dalam dan luar negara itu bertujuan membincangkan isu-isu yang relevan antara kedua-dua dunia.
Sementara itu, Abdullah berkata, dunia Barat dan Islam seharusnya cuba berkongsi aspek yang menjadi persamaan bagi menjadikan usaha merapatkan jurang lebih efektif.
"Kita perlu fokus pada banyak prinsip dan perkara yang menjadi kepentingan bersama.
"Kita mesti elakkan kecenderungan untuk berfikir yang kita merupakan satu-satunya penjaga kepada apa yang baik, manakala lainnya tinggal di dunia yang gelap dan sengsara," tegasnya.
Abdullah berkata, sebagai contoh, walaupun daripada segi sejarah, penduduk Islam di Asia Tenggara pernah dijajah oleh kuasa Barat namun mereka menerima keadaan pada masa lalu itu dengan hati terbuka.
"Apabila kita nilai keadaan hubungan antara negara penduduk majoriti Islam di Asia Tenggara dengan AS dan negara Barat yang lain pada hari ini, kita kurang dibebani jurang itu sebaliknya menjalin hubungan yang baik dengan mereka.
"Ini dapat dilihat bagaimana AS dan Eropah merupakan antara rakan dagang dan pelabur paling penting bagi Indonesia, Malaysia dan Brunei," katanya.
Kata Abdullah, jurang antara dua dunia ini sebenarnya lebih terarah kepada faktor politik dan bukannya kerana agama.
"Sebahagian besar disebabkan faktor politik, seperti isu Palestin dan pencerobohan di Iraq, yang kekal menjadi duri bagi hubungan kedua-dua pihak selagi ia berlarutan," ujarnya.
Sumber : Utusan
Monday, October 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment