Tuesday, April 29, 2008

Kenapa jadi macam tu

YB Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN - Santubong) menang dalam Pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Itu tidak pelik, tetapi yang menimbulkan perasaan ingin tahu tu ialah mengapa beliau memperolehi undi melebihi Ahli Parlimen BN yang ada dalam Dewan yang mulia itu. Kenapa jadi macam tu ? Lebihan sokongan 17 ahli dari pihak pembangkang bukannya sedikit, itu sudah boleh dikira menguasai beberapa negeri di Semenanjung tu.

Mana satu yang betul ni ? Perjuangan atas kepentingan peribadi ke atau parti. Usah ceritalah perjuangan untuk orang Melayu kalau perpaduan di kalangan ahli yang menang pun tidak mencapai kata sepakat.

Siapa yang betul ? Jangan nanti Dewan Rakyat penuh dengan cerita kosong sahaja. Apa sahaja yang nak dibuat Kerajaan tidak pernah semuanya betul. Marilah kembali kepada perkara yang wajar iaitu banyak juga benda yang dibuat oleh Kerajaan betul dan tidak semua dari sebelah pihak itu terlalu lebih betulnya. Kita renung-renungkan dan fikirlah dengan munasabah.

Tuesday, April 22, 2008

Earth Day

Firman Allah dalam Surah Ali 'Imran : 190-191 yang bermaksud 'Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal'.

{iaitu} orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi {seraya berkata}."Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, maka peliharalah kami daripada siksa neraka'.



Justeru itu, sempena Hari untuk tempat tinggal kita ini saya menyeru dan mengajak seluruh penduduk terutamanya warganegara Malaysia untuk terus menguruskan alam ini dengan lebih bersih lagi. Walaupun apa yang telah menjadi bahan buangan itu tidak dapat dikitar semula, ada perkara tertentu yang masih boleh dikitar serta diperbaiki terutamanya 'azam' dan terus berazam untuk memperbaiki sikap kita dalam menguruskan alam sekitar.

Sekiranya penduduk di negara barat begitu sibuk bercakap mengenai perkara ini, malah bermacam-macam persatuan dan badan bukan kerajaan {GLC} yang ditubuhkan turut mengambil peranan. Apalah sangat peranan yang boleh dimainkan di Malaysia ini sekiranya kita telah mula bercakap mengenai medan angkasa. Tentunya ia sesuatu yang ringan sahaja tetapi perlu diambil serius apa-apa perkara yang perlu dilaksanakan.

Jadilah insan yang bermanfaat kepada alam.

Thursday, April 17, 2008

Relevankah BN lagi.

Hanya selepas Pilihanraya ke-12, barulah timbul cakap-cakap berkenaan dengan kekuatan rakyat majoriti yang menginginkan satu perubahan drastik terhadap kepemimpinan negara. Walaupun sebelum itu hanyalah 'orang-orang blog' yang lebih peka tentang gelombang perubahan yang akan berlaku ketika itu, namun auranya tidak dapat dirasai oleh pemimpin yang seakan-akan leka tentang hati dan perasaan rakyat. Cerita tentang ekonomi negara serta harga barangan yang melambung naik bukan sahaja merisaukan orang-orang Cina, malah orang Melayu yang lebih terasa bahangnya kerana Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dibentuk masih belum dapat mencapai sasarannya iaitu 30 peratus kek kekayaan negara diiktiraf sebagai pemilikan Melayu.

Jadinya di sini, Kerajaan Barisan Nasional yang asalnya Kerajaan Perikatan dulu perlulah memikirkan semula satu bentuk kerjasama yang agak-agaknya berupaya untuk menguruskan negara dengan baik lagi. Walaupun, majoriti pengundian rakyat berkurangan dalam PRU-12 tempohari, Kerajaan BN masih mendapat mandat untuk menguruskan negara. Jadi, peluang yang masih diberi oleh rakyat menampakkan BN terus relevan.

Sungguhpun demikian, orang Melayu perlulah diberi hak yang sepatutnya kerana UMNO telah lebih mendapat kepercayaan pengundi, jangan lagi hanya kerana terpaksa menjaga kepentingan parti komponen lain, menggadaikan pula kepentingan orang Melayu. 'Give and Take' perlulah ada tempatnya.

Monday, April 14, 2008

Peralihan Kuasa Presiden

Kenapa ahli UMNO tiba-tiba jadi tidak sabar untuk memilih dan sehingga ditimbulkan pula usul untuk mempertandingkan jawatan Presiden UMNO yang secara tradisinya akan dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kenapa jadi macam ni ? Adakah saban hari rakyat marhaen didedahkan dengan berita tentang senario politik UMNO sahaja. Bagaimanalah Perdana Menteri dan anggota Kabinet barunya hendak bekerja dan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat, yang juga telah memberi undi majoriti tersebut. Tidakkah ini merupakan satu pembaziran waktu terutama ketika sidang media pemimpin tersebut yang mana wartawan tidak sudah-sudah menimbulkan isu tertentu dan adakalanya menimbulkan cerita negatif.

Tolonglah wahai pengembara blog, marilah kita kurangkan sensasi, tingkatkan prestasi terutama akhlak dan ekonomi. Jangan terpengaruh dengan cerita yang disensasikan. Kita tumpukan bagaimana hendak mengecap kekayaan, menyebarkannya terutama untuk orang Melayu yang yang beragama Islam. Begitu juga untuk kaum lain yang tinggal di bumi Malaysia ini yang memerlukan pertolongan sesama manusia.

Kemenangan yang dikecapi itu sesungguhnya perlu dimanfaatkan untuk terus membantu menuju ke arah matlamat yang unggul serta harmoni!

Tuesday, April 8, 2008

JADI ISU HANGAT

Seperti yang telah dijangkakan, lepas aje pilihanraya nak berlangsung pula Pemilihan UMNO, parti majoriti orang Melayu. Belum pun habis cerita tentang 'Teori Gelombang Perubahan', sudah mula menampakkan 'cakap-cakap' tentang kepada siapa anak buah nak mengadu nasib sama ada kepada ketua atau pun pemimpin yang ada atau pun yang asyik mengkritik sahaja. Di mana letaknya 'survival' bangsa yang baru nak mempunyai hala tuju dan peradaban ini jika hanya memperkatakan tentang nak merebut jawatan sahaja. Orang-orang tertentu yang akan dipilih nanti tidak wajar dipersalahkan kerana mereka dipilih oleh ahli kebanyakan.

Tapi yang nak memilih ni, fikir-fikirkanlah akan siapa yang sebenarnya layak menerajui parti sekaligus memimpin negara. Masa depan anda dan anak-anak anda, serta cucu-cucu anda begitu memerlukan satu keputusan yang bijak untuk ditentukan pada hari ini. 'Jangan sudah terhantuk baru nak terngadah'!

Sedarlah wahai Melayu, tingkatkan ekonomi dan mari kita perkasakan bangsa yang mempunyai sejarah cukup panjang ini.

Monday, April 7, 2008

Garisan Melayu.

Pada hari dan bulan yang baik ini, kenapa tajuk di atas menjadi pilihan? Kenapa kita perlu ada garisan tersendiri yang membataskan apa dan kenapa sesuatu perkara itu perlu dilakukan. Kenapa ‘orang putih’ tidak perlu ada garisan yang membataskan sesuatu perkara yang hendak dilaksanakan. Kenapa itu dan kenapa ini ? Banyak sangat yang tidak bolehnya ! Kemudian kita pergi lagi kepada ‘hidup dikandung adat dan mati dikandung tanah’. Sebut mati tahu pulak takut, tapi persediaan untuk mati tidak pula dilaksanakan secukup rasanya.

Banyak sangat yang tidak bolehnya dalam masyarakat Melayu, yang bolehnya terus meminta dan meminta lagi, tak cukup betis diberi, hendak pula yang atas lagi. Justeru itu, sedapat-dapatnya marilah kita mengubah persepsi sedemikian dan membina perkara baru yang dapat membentuk serta memimpin generasi ‘Melayu Baru’. Sekiranya kita tidak memulakan dari hari ini, siapa lagi yang boleh mengurangkan gejala sosial masyarakat Melayu di Malaysia yang tercinta ini. Semua pihak perlu ada rasa tanggungjawab sejajar dengan pembangunan pesat yang berlaku di Malaysia. Jangan kita hanya menuding jari kerana sesungguhnya setiap individu yang diberi tanggungjawab sebenarnya memegang amanah untuk dilaksanakan. Amanah-amanah ini kalau tidak banyak, sedikit pun, ianya tetap dipandang mulia sekiranya berjaya dilaksanakan. Perspektif kepuasan walaupun subjektif sifatnya, tetapi tetap ada ganjaran yang menanti. (Ingat ini bukan cerita berkenaan dengan pertimbangan moral yer- hukuman atau ganjaran untuk diberi kepada anak-anak). Ini lebih merupakan satu ransangan psikologi untuk kita membuat yang terbaik dalam apa-apa perkara sekalipun. Tidak salah rasanya apabila bercuti atau membeli kelengkapan baru sebagai ganjaran atas kejayaan menyempurnakan sebarang amanah yang dipertanggungjawabkan. Cuma perlulah berpada-pada supaya sama dengan ukuran kejayaan tugasan yang telah disempurnakan itu.

Berbalik kepada Garisan Melayu, sebenarnya keadaan menuntut yang lebih dari itu, ‘janganlah kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar’. Bukan semua yang tidak baik itu dari ‘orang putih’ atau pun ‘Kerajaan Warisan orang putih’, tetapi sungguh banyak nilai yang baik-baik boleh dicontohi, dan bukan juga Melayu itu semuanya layu, dan bukannya sentiasa inginkan jawatan penting dalam parti, sehingga sanggup mengetepikan agenda Melayu. Ada perkara penting lain yang perlu diperkasakan lagi serta perlukan penyatuan. Jangan pula nak ingat berdemonstrasi sahaja sebagai jalan untuk menyuarakan keadilan. Ayuhlah Melayu, bangkitlah! Jadikan Malaysia ini sebagai asas kekuatan bangsa Melayu dalam segala bidang. Itu sebabnya, kedatangan Islam telah mengubah persepsi masyarakat Melayu di Nusantara dan berjaya menyatukan umat manusia selaras dengan kata-kata ‘Kesatuan dalam Kepelbagaian’.



Apa yang boleh ditetapkan buat masa ini ialah, kita masih ada masa untuk berubah ! Perubahan ke arah yang lebih baik samalah seperti penghijrahan jiwa, minda dan hati, menuju satu anjakan bagi melahirkan semula semangat baru untuk terus hidup cemerlang. Kesimpulannya, mercu tanda kejayaan sentiasa menanti pada setiap insan yang mahukan perubahan ke arah penghidupan yang lebih aman dan harmoni.