Langkah mengharamkan pengimportan babi dan semua produk haiwan itu bagi mengawal penularan wabak influenza A (H1N1) ke seluruh negara perlu dilaksanakan secara konsisten oleh semua kerajaan negeri.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, tindakan kerajaan Sabah untuk mengharamkan import babi dan semua produk haiwan itu perlu dicontohi oleh negeri-negeri lain.
“Semua pihak perlu bertindak secara proaktif untuk mengawal penularan wabak influenza A (H1N1) di negara ini jika terdapat bukti kukuh menunjukkan virus itu berpunca daripada babi.
“Langkah-langkah yang bertujuan melindungi keselamatan rakyat harus dilaksanakan secara telus sebelum wabak tersebut mengorbankan nyawa rakyat di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Sabah mengharamkan import babi dan semua produk haiwan itu sebagai langkah mengawal wabak influenza A (H1N1) menular ke negeri itu.
Timbalan Ketua Menterinya, Datuk Yahya Hussin berkata, notis larangan itu sudah dihantar kepada semua syarikat pengimport makanan sejuk beku yang berkuatkuasa pada 28 April lalu.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, larangan tersebut termasuk import produk babi dalam tin dari Semenanjung dan Sarawak.
Marimuthu berkata, golongan pengguna boleh memilih berhenti makan daging babi dan produk haiwan itu buat sementara waktu dan menggantikannya dengan makanan lain sebagai langkah berjaga-jaga.
“Lagi pun mereka tidak akan mati kerana tidak makan daging babi,” ujar beliau.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George pula melihat langkah memperketatkan saringan di semua pintu masuk negara lebih efektif berbanding mengharamkan pengimportan babi dan semua produknya.
Katanya, ramai yang mengetahui wabak tersebut bukan berpunca daripada babi semata-mata malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara itu.
“Oleh itu, semua pihak harus bertenang dan bekerja secara profesional serta mematuhi nasihat WHO sebelum mengambil sebarang tindakan yang akan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat,” katanya.
Menurut Jacob, kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini untuk memperketatkan sistem penyaringan di lapangan terbang dan semua pintu masuk negara bagi mengawal penularan wabak tersebut.
Sumber : Utusan
Tahniah di atas keprihatinan Kerajaan Sabah.
Monday, May 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment