Sunday, April 12, 2009

Jumlah jawatankuasa Kabinet diperkecil - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah jawatankuasa Kabinet akan dikurangkan bagi melicinkan urusan pentadbiran dan memastikan setiap perkara dibincangkannya dapat terlaksana.

Beliau berkata bahawa dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa hari lepas, mereka bersetuju agar jumlah jawatankuasa Kabinet berkenaan diletakkan di bawah kumpulan tertentu, umpamanya bidang ekonomi diletakkan dalam satu kumpulan dan sosial dalam satu kumpulan.

Bercakap kepada pemberita selepas beliau menyerahkan tugas sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada Datuk Mustapa Mohamed di sini hari ini, Muhyiddin berkata bahawa setiap minggu, menteri perlu menghadiri sehingga empat mesyuarat jawatankuasa Kabinet.

"Jumlah jawatankuasa Kabinet itu banyak dan semua penting belaka. Kita juga ada urusan lain kita harus laksanakan untuk negara," katanya.

Muhyiddin berkata sebahagian daripada jawatankuasa Kabinet itu akan dipengerusikan oleh beliau manakala sebahagian lagi akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. BERNAMA


Sumber : MStar Online

No comments: