Wednesday, April 29, 2009

Majlis berhemah

PETALING JAYA 29 April – Majlis yang melibatkan pemimpin kerajaan hendaklah diadakan secara berhemah dan tidak melebihi 10.30 malam, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri Kabinet setelah meneliti dari semasa ke semasa, program-program serta acara- acara rasmi dan bukan rasmi yang melibatkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, para menteri serta pemimpin kerajaan lain.

“Yang kedua ialah majlis tersebut seharusnya tidak diadakan sedemikian rupa sehingga ia nampak membazir ataupun berlebih-lebih sangat dari segi persiapan dan juga acara-acara tambahan.

“Ini sejajar dengan nilai yang hendak ditanamkan dan diamalkan di kalangan masyarakat supaya setiap penganjuran majlis itu hendaklah afdal dan menepati matlamatnya tetapi tidak membazir dan tidak membuang masa,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dekat sini, sebelum mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Brunei untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Selain itu, Rais juga menasihatkan supaya sebutan nama orang kenamaan (VVIP) diringkaskan bagi menjimatkan masa.

“Kesemua ini diputuskan dan dipersetujui oleh jemaah menteri memandangkan kita mempunyai tugas dan tugasan yang amat berat, di samping itu, kita harus mendidik masyarakat kita supaya menilai masa dan juga memberi penghargaan kepada keafdalan kita berucap dan di samping itu, mengadakan majlis-majlis rasmi ataupun bukan rasmi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, arahan berhubung perkara itu tidak meliputi acara-acara yang bersifat kebudayaan atau acara-acara yang melibatkan adat-istiadat yang telah menjadi tradisi dan sebahagian daripada amalan budaya.

Rais berkata, penganjuran majlis yang tidak terlalu lama akan memberi peluang kepada semua pihak untuk pulang awal, membaca, menyemak semula program-program atau susulan yang hendak dibuat pada keesokan harinya.

“Dijangka sekiranya sesuatu majlis itu selesai pada pukul 10.30 malam ataupun pukul 10.15 malam, maka waktu pada malam hari itu masih cukup bagi semua pihak yang berkenaan itu untuk menyusun kehidupan, merancang untuk keesokan harinya, apatah lagi bagi seseorang pemimpin seperti PM, TPM dan mereka yang mempunyai masa terhad,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu akan melaksanakan perkara itu secepat mungkin, selain menyebarkan warta itu sebagai amalan yang positif.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menyediakan dokumentari yang menggunakan sedutan ucapan Perdana Menteri dengan isian visual yang boleh menarik dan membawa kepada pemahaman serta penerimaan konsep ‘1Malaysia’ seperti yang dikehendaki oleh kerajaan.

Beliau berkata, prinsip-prinsip ‘1Malaysia’ yang diumumkan Perdana Menteri menerusi ucapannya kepada pegawai kerajaan semalam, amat penting kerana mengandungi prinsip yang membawa kepada negara bangsa yang membina.

“Oleh yang demikian, kita akan membuat sedutan-sedutannya menerusi sebaran dokumentari ini supaya dapat digunakan oleh semua pihak di pelbagai peringkat termasuk kerajaan negeri, badan-badan berkanun, jabatan kerajaan dan juga bagi kampung-kampung serta kampung baru dan juga jentera pentadbiran yang lain,” katanya.

Rais berkata, kementeriannya juga akan menganjurkan program 1Malaysia dengan kerjasama kerajaan negeri di seluruh negara.

“Dalam pada itu, kita akan kapsulkan mesej-mesej membina negara bangsa 1Malaysia ini untuk digunakan oleh semua stesen radio tidak kira swasta atau kerajaan serta stesen televisyen,” katanya. – Bernama

Sumber : Utusan


Sudah lama sepatutnya perkara seperti ini dilaksanakan bagi membolehkan rakyat benar-benar dapat menerima aspirasi Kerajaan, dan Kerajaan sememangnya inginkan rakyat menilai kepentingan masa. Tahniah Kerajaan !

Thursday, April 16, 2009

Tidak sama dengan 'Malaysian Malaysia'

BERIKUT adalah sedutan transkrip sidang akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara, semalam.

- Konsep Satu Malaysia tidak boleh disalah ertikan oleh pihak-pihak tertentu umpama pembangkang kata bahawa ia sama dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Ia tak sama.

- Di bawah konsep Satu Malaysia ini bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.

- Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

- Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada saya maksud konsep Satu Malaysia.

SAYA telah mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama pagi ini. Antara perkara yang saya telah tekankan pada mesyuarat pagi ini, supaya barisan Jemaah Menteri yang baru dapat memenuhi harapan rakyat yang begitu tinggi, di mana Jemaah Menteri perlu menepati apa yang diharapkan rakyat.

Saya menggariskan empat perkara. Integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan. Kabinet perlu berteraskan kepada Kabinet yang dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang menyingsing lengan dan melakukan perkara yang boleh mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Saya telah nyatakan dalam persekitaran politik hari ini, rakyat semakin kritikal. Oleh itu, kita tak boleh anggap ini sebagai perkara biasa tetapi mesti mempamerkan barisan kepimpinan yang sanggup melakukan perubahan dan pembaharuan.

Sehubungan ini, saya telah menyatakan betapa pentingnya Jemaah Menteri untuk berurusan dengan semua lapisan masyarakat. Kita tak boleh anggap kerajaan tahu segalanya. Kita perlu membuka pintu kepada dialog dan perbincangan dengan pelbagai kumpulan supaya keputusan yang dibuat kerajaan nanti merupakan keputusan yang benar-benar bersandarkan kepada kehendak rakyat.

Saya juga ingatkan ahli Kabinet supaya tidak dianggap sebagai kerajaan yang memihak kepada mana-mana kumpulan istimewa khusus (special interest group) atau mana-mana badan korporat.

Walaupun amat penting untuk melaksanakan dasar-dasar yang mesra kepada sektor swasta tetapi kesudahannya kita mesti ambil apa-apa keputusan bersandarkan kepentingan rakyat pada keseluruhan.

Saya juga telah menyebut tentang pencapaian yang diharapkan oleh rakyat bahawasanya rakyat tidak mahu mendengar sesuatu yang kita janjikan atau sesuatu diumumkan. Rakyat mengharapkan pelaksanaan secepat mungkin.

Oleh itu, pendekatan KPI akan dilaksanakan di mana pihak Khazanah telah ditetapkan sebagai badan untuk membantu kerajaan menggubal KPI dalam tempoh sebulan. Saya telah berjumpa Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azman Mokhtar untuk menempatkan bilangan tenaga yang mencukupi untuk melaksanakan penggubalan KPI ini dalam tempoh tersebut.

Di samping itu, KPI ini juga akan melibatkan pembahagian tugas kepada timbalan menteri secara tersusun. Setiap timbalan menteri akan diberi bidang tugas supaya timbalan-timbalan menteri dapat menyumbang kepada tindakan dan pelaksanaan yang dilakukan kerajaan.

Semua menteri akan dinilai prestasi masing-masing dalam tempoh enam bulan. Saya telah tetapkan pada bulan November nanti kita akan lakukan proses penilaian atas prestasi dan pencapaian setiap menteri dan kementerian.
Ada juga pandangan bahawa sesetengah keputusan itu merupakan keputusan yang merentasi beberapa kementerian yang tak boleh dikhususkan kepada satu kementerian sahaja.

Kita akan ambil kira perkara ini. Yakni kalau kita menentukan KPI, ia akan mengambil kira mana yang boleh kita khususkan kepada sebuah kementerian dan mana yang perlu kita ambil kira peranan yang dimainkan kementerian lain.

Dengan adanya sistem KPI ini, saya percaya prestasi kerajaan, pencapaian kerajaan, insya-Allah akan bertambah baik dan berkesan lagi.
Saya juga mengingatkan, bahawa rakyat hari ini mengharapkan pendekatan yang berbeza. Dan kita tidak perlu kepada pendekatan yang terlalu mementingkan luaran (ritual) ataupun kedudukan kita sebagai anggota pentadbiran. Tetapi kita mesti sensitif dengan pandangan rakyat dalam apa juga yang kita lakukan.

Saya bagi contoh, kalau kita hendak promosi pelancongan misalnya Pulau Langkawi. Apabila kita buat papan iklan, tak payahlah kita letakkan gambar Perdana Menteri dan menteri berkenaan sebagai sebahagian daripada kandungan papan iklan tersebut.

Dan kalau ada hari-hari tertentu kita buat sepanduk, banting dan sebagainya, tak payahlah gambar menteri atau Perdana Menteri ditonjolkan. Kita nak tunjukkan yang kita tak penting kepada perkara seperti ini. Yang penting ialah untuk menunjukkan bahawa kita sebuah kerajaan mesra rakyat dan pentingkan kepentingan rakyat lebih daripada kedudukan dan jawatan yang ada pada kita.

SOALAN: Mengenai penyusunan agensi ada dijelaskan (dalam mesyuarat Kabinet)?

Saya sudah buat keputusan dan JPM akan keluarkan kenyataan. Tidak ada masalah apabila sesuatu kementerian dibubarkan. Misalnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD). Ini kerana agensinya tetap tidak dibubarkan. Ia ditempatkan di bawah kementerian lain yang akan melaksanakan tugas seperti biasa.

Seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga. Ketika zaman Tun Ghafar Baba, Mara di bawah kementerian berkenaan.

Dan, Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal). Takkan dia tak boleh kita harap, untuk laksanakan program Mara umpamanya. Jadi, saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien.

Ada disentuh mengenai Majlis Penasihat Ekonomi?

Ya, saya ada bayangkan. Tapi perincian termasuk mengenai pengerusinya akan saya umumkan kemudian. Saya terangkan kenapa Majlis Penasihat Ekonomi ini diwujudkan. Saya akan pilih hari lain untuk terangkan.

Apa tindakan selanjutnya jika ada menteri yang berada di bawah tahap memuaskan apabila penilaian dilakukan November ini?

Saya percaya menteri-menteri sedar bahawa masa depan kerajaan bergantung kepada pencapaian mereka berdasarkan KPI. Mereka tahu bahawa mereka mesti ambil serius apa yang patut dilakukan.

Jadi, saya berkeyakinan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi. Penilaian itu bukanlah satu kaedah bersifat pemantauan semata-mata tetapi satu cara untuk membantu menteri-menteri berkenaan jika mereka hadapi hambatan yang kerana keputusan dibuat oleh kementerian yang lain umpamanya.

Jadi kita boleh gunakan masa penilaian itu untuk menyelesaikan kekangan dari segi pelaksanaan dan pencapaian kementerian mereka.

Pihak mana akan melakukan penilaian berkenaan?

Penilaian itu akan dibuat oleh sebuah unit di bawah JPM yang akan menilainya bersama-sama ICU. Mereka akan lihat pencapaiannya. Dan, apabila saya bincang dengan menteri berkenaan, menteri berkenaan akan bentang juga apa yang mereka telah buat.

Sama-samalah kita bincang nanti dan kita tengok apa yang mereka lakukan dalam tempoh enam bulan.

Dahulu kerajaan juga ada sistem report card, tapi nampaknya ia tak berkesan?

KPI ini kita ada sistem. Kalau kita buat satu-satu keputusan, ia mesti didokong oleh sistem yang diwujudkan. Jadi kita sudah wujudkan sistem. Ini bukan saja keputusan tapi disokong dengan sistem.

Sistem itu ialah, pertamanya Khazanah mainkan peranan. Saya sudah wujudkan tuntutan menteri berkenaan di bawah JPM dan ICU akan main peranan.

Jadi kita ambil pendekatan bersistematik. Kalau kita hendak buat sesuatu ia mesti berasaskan sistematik. Jika tidak, ia akan dilihat retorik. Ia mesti didokong dengan sistem yang bersesuaian.

Ini bukan seperti biasa tetapi sesuatu yang berbeza sebab saya sudah janjikan pembaharuan. Saya komited kepada rakyat untuk bawa pembaharuan dan saya serius untuk bawa perubahan.

Boleh komen mengenai rasa kecewa masyarakat India mengenai bilangan dalam Kabinet?

Yang paling penting ialah apa yang kerajaan akan buat untuk komuniti India. Kita akan buat apa yang termampu untuk komuniti India, ini bukan satu isu besar.

Boleh gambarkan suasana mesyuarat Kabinet yang pertama dipengerusikan Datuk Seri hari ini?

Saya rasa elok tanya pada menteri lain tentang apa yang mereka rasa (ketawa kecil). Pada saya ia berjalan baik. Maknanya saya kata, saya punya kesimpulan berilah yang terbaik, sumbanglah yang terbaik untuk negara. Itu mesej utama saya.

Selain itu, saya kata penting untuk mereka mendapatkan kepuasan kerja. Kita pun nak bina semangat kerjasama di kalangan barisan Kabinet. Satu keluarga yang boleh sokong antara satu sama lain. Yang penting kita boleh laksanakan dengan jaya.

Sumber: Utusan Malaysia, 16 April 2009

Wednesday, April 15, 2009

Fungsi MeCD diserap

PUTRAJAYA 15 April – Agenda membela bumiputera yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang dimansuhkan, tetap diteruskan apabila kerajaan bersetuju menyerapkan fungsi dan agensi-agensinya ke lapan buah kementerian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata, persetujuan mengenainya akan terus memastikan peranan-peranan utama MECD terutama bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Pada masa sama, kata beliau, ia akan memperluas dan mempercepatkan penglibatan bumiputera dalam arus ekonomi negara, membangunkan kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi yang terus diberi penekanan kerajaan.

Berikut fungsi-fungsi dan agensi-agensi MECD yang diserapkan:

- Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

- Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

- Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ke Jabatan Perdana Menteri.

- Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) ke Kementerian Kerja Raya.

- Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Bank Rakyat ke Kementerian Kewangan.

- Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

- Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia Japan University (MAJU) ke Kementerian Pengajian Tinggi.

- Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, pada sidang akhbar sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara petang ini, Najib menegaskan, tiada sebab mengapa pemansuhan kementerian tersebut perlu dijadikan polemik.

Kata Perdana Menteri, ini kerana agensi yang selama ini berada di bawah MeCD tidak pun dibubarkan dan akan tetap meneruskan fungsi serta peranan mereka dengan ditempatkan di beberapa kementerian lain.

“Seperti Mara, kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga seperti ketika zaman Tun Ghafar (Baba).

“Dan Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO. Takkan beliau tak boleh kita harapkan untuk laksanakan program Mara umpamanya.

“Jadi saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien,” katanya.

Mengenai LPKP, Perdana Menteri menjelaskan, ia diletakkan di bawah JPM kerana kerajaan mahu mewujudkan sebuah badan baru yang dikenali sebagai Lembaga Pengangkutan Kebangsaan.

Katanya, atas sebab itu juga LPKP tidak berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan kerana peranan dan fungsi badan baru tersebut akan merentasi pelbagai kementerian.

“Undang-undang lembaga ini sedang digubal. Sebenarnya ia diputuskan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Saya fikir tahun ini (boleh dimuktamadkan),” jelasnya.



Sumber : Utusan

Sunday, April 12, 2009

Jumlah jawatankuasa Kabinet diperkecil - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah jawatankuasa Kabinet akan dikurangkan bagi melicinkan urusan pentadbiran dan memastikan setiap perkara dibincangkannya dapat terlaksana.

Beliau berkata bahawa dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa hari lepas, mereka bersetuju agar jumlah jawatankuasa Kabinet berkenaan diletakkan di bawah kumpulan tertentu, umpamanya bidang ekonomi diletakkan dalam satu kumpulan dan sosial dalam satu kumpulan.

Bercakap kepada pemberita selepas beliau menyerahkan tugas sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada Datuk Mustapa Mohamed di sini hari ini, Muhyiddin berkata bahawa setiap minggu, menteri perlu menghadiri sehingga empat mesyuarat jawatankuasa Kabinet.

"Jumlah jawatankuasa Kabinet itu banyak dan semua penting belaka. Kita juga ada urusan lain kita harus laksanakan untuk negara," katanya.

Muhyiddin berkata sebahagian daripada jawatankuasa Kabinet itu akan dipengerusikan oleh beliau manakala sebahagian lagi akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. BERNAMA


Sumber : MStar Online

Thursday, April 9, 2009

Barisan Kabinet Baru

Terbentang luas harapan rakyat terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia. Maka, apabila pengumuman barisan Kabinet baru pentadbiran negara diumumkan, ia sememangnya satu corak gabungan pemimpin lama dan baru yang meyakinkan. Besarlah harapan kita agar konsep satu Malaysia dapat membawa negara ini ke arah yang lebih cemerlang.

Kegemilangan pemimpin lama adalah cerita semalam, jadinya, berilah masa pada barisan baru ini merekabentuk gagasan pentadbiran yang unggul di mata dunia terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Petunjuk saham yang berubah sedikit selepas pengumuman Kabinet baru diharap dapat memberi sedikit keyakinan bahawa negara ini mampu 'survive'.

Rakyat sentiasa menyokong keputusan yang dibuat oleh Kerajaan demi untuk agama, bangsa dan negara.

Tuesday, April 7, 2009

BN 1, Pas 1, PKR 1



(KIRI) MALCOM Mussen Lamoh (kanan) bersama Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg (kiri) dan Presiden PRS, Datuk Seri James Masing (tengah) bersama penyokong meraikan kemenangan BN di Kompleks Sukan Lubok Antu malam tadi. – UTUSAN/ZULAZHAR SHEBLEE
(KANAN) Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (tengah) bersama Timbalan Presiden Pas, Nassaruddin Mat Isa mengangkat tangan setelah memenangi Pilihan Raya Parlimen Bukti Gantang di Dewan Perbandaran Taiping, malam tadi. – UTUSAN/Ahmad Zakki Jilan




Barisan Nasional (BN) kekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, Sarawak.

Pakatan pembangkang pertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah.

Keputusan status quo sama seperti kedudukan dalam pilihan raya umum lalu.

Semua calon Bebas hilang wang pertaruhan.

Ramai pengundi bukan Melayu Bukit Gantang dan Bukit Selambau sokong pembangkang.


Sumber : Utusan