Wednesday, April 21, 2010

Peluang pendidikan sama rata

HULU SELANGOR - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, dakwaan pembangkang bahawa masyarakat di negara ini tidak menikmati hasil pembangunan kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) zalim adalah tidak benar.
Beliau berkata, ini kerana dalam bidang pelajaran, kementerian menerima 127,000 permohonan baru untuk memasuki pengajian di politeknik di seluruh negara tahun ini dan sebanyak 23,000 tempat ditawarkan bagi tujuan itu.
"Daripada jumlah tempat yang ditawarkan itu, 414 pelajar adalah dari kawasan Parlimen Hulu Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sehari Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi bersama Rakyat Parlimen Hulu Selangor di Kolej Komuniti Hulu Selangor dekat sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor sekarang yang melabelkan kerajaan pimpinan BN sebagai ”zalim” meskipun membawa pembangunan dan pembaharuan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
Khaled berkata, trend kempen pembangkang sejak dulu hingga sekarang adalah hanya untuk meraih sokongan dari rakyat untuk membangkitkan kebencian, menanam rasa tidak puas hati, curiga dan fitnah terhadap kerajaan.
Kataya lagi, sistem pengajian politeknik adalah alternatif kepada sistem pengajian akademik dalam usaha melahirkan mesyarakat berkemahiran tinggi, inovatif dan kreatif.
Katanya, seramai 88,000 pelajar menyambung pengajian di peringkat diploma di politeknik sehingga kini dan menjangka bilangannya meningkat sehingga 120,000 apabila semua politeknik siap dibina kelak. - Bernama

Sumber : Utusan Online

Kebangkitan perasaan kebencian bukanlah jalan penyudah. Perlu diingat, Kerajaan BN inilah yang telah meningkatkan infrastruktur dan sekaligus tahap ekonomi masyarakat setempat bertambah.

No comments: